vectorAsset 1 Portal Inovasi Perkhidmatan Awam atau singkatannya 'PIPA' membuka landskap baharu kepada pengurusan projek-projek inovasi di negeri Sabah. Portal ini telah dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri Sabah pada 15 Februari 2021 dalam Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS).
 

Mengenai Portal Inovasi Perkhidmatan Awam

Kerajaan negeri mempunyai lebih daripada 100 agensi yang terletak di seluruh negeri Sabah dan ini tidak termasuk pejabat-pejabat cawangan agensi lain yang terdapat di setiap daerah. Pemantauan dan pelaporan mahupun penyertaan terhadap projek-projek inovasi amat sukar dilaksanakan kerana faktor jarak, pengetahuan yang amat sedikit untuk menyertai atau menghantar projek inovasi kepada agensi penyelia dan ini juga tidak termasuk jumlah masa dan kos yang diperlukan untuk penghantaran dan penelitian laporan inovasi tersebut.


Sehubungan itu, kami melihat perkara ini sebagai satu peluang penambahbaikan. Satu gerbang informasi dan interaksi semua individu mahupun agensi untuk menghantar atau merekodkan projek-projek inovasi mereka di dalam satu portal sebagai rekod, tatapan mahupun sebagai satu bentuk penghargaan (rewarding) kepada mereka yang telah melaksanakan inovasi untuk kebaikan agensi masing-masing dan kerajaan negeri secara amnya.

 

Datuk MariamMaka pada awal bulan Disember 2020, pembangunan portal ini telah dilaksanakan dengan persetujuan mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Hajah Mariam binti Omar. Pembangunan portal ini adalah sepenuhnya oleh pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) dan mengambil masa satu (1) bulan untuk disiapkan.

 

Rasional

• Meningkatkan kesedaran dan peluang kepada semua pihak untuk melaksanakan inovasi
• Memudahkan penghantaran projek-projek inovasi baharu
• Menggalakan setiap agensi untuk bersaing secara sihat dalam melaksanakan inovasi
• Meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri dengan projek-projek inovasi baharu

 

Pelancaran Portal Inovasi Perkhidmatan Awam

Kerajaan Negeri Sabah menerusi Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) telah melancarkan PIPA pada 15 Februari 2021 seiring dengan penganjuran Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS) Tahun 2020 yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Majlis ini telah berlangsung di Aras 26, Blok A, Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah dan turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Dato' Samsuni Mohd Nor, Setiausaha Persekutuan Sabah dan YBhg. Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, dan Datuk Seri Dr Yusof Ismail, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbir dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Memetik ucapan YAB Ketua Menteri, penganjuran Majlis Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam adalah bertepatan bagi menyungkil kreativiti para penjawat awam serta menjadi platform dalam menjana idea baharu yang bersesuaian dengan penyampaian perkhidmatan awam.