Pengenalan Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS)

 
  • Penganjuran Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (iSAS) bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang telah melaksanakan dan membudayakan inovasi dalam penawaran perkhidmatan kepada orang awam. Program iSAS buat pertama kalinya telah berjaya dianjurkan pada tahun 2019 dengan kerjasama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) (Pentadbiran). Majlis tersebut telah mencatat sejarah bermulanya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih kreatif dan inovatif. iSAS juga menjadi satu-satunya platform yang mengangkat hasil inovasi yang dicipta dalam kalangan penjawat awam di Negeri Sabah ini.
 
  • Pada tahun 2020, penganjuran iSAS masih diteruskan walaupun corak penganjurannya terpaksa diubah dengan mengutamakan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha membendung penularan virus Covid-19. Walaupun dalam keadaan norma baharu, program iSAS tahun 2020 menampakkan trend peningkatan dari segi jumlah penyertaan. Ini mencerminkan budaya berinovasi untuk meningkatkan mutu penyampaikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat menjadi misi utama bagi agensi-agensi kerajaan di Sabah. Usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri juga semakin teguh walaupun tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri telah berubah. Program Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah ini dipengerusikan secara bersama oleh YB Datuk Seri Panglima Setiausaha Kerajaan Negeri dan YBhg. Dato’ Setiausaha Persekutuan Sabah manakala Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) dan MAMPU Sabah akan bertindak sebagai urus setia.
 
  • Pemilihan pemenang dan majlis penganugerahan kepada pemenang akan dilaksanakan secara tahunan dalam majlis berprestij Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (iSAS).